Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan pelawat Rifbook.com yang sudi membaca entri pada kali ini.. :) Pada hari ni Riff nak berkongsi cerita pasal hantu kepercayaan orang Melayu yang paling popular dari zaman dulu sampai laa sekarang. Jom tengok….

Pontianak

Dipercayai oleh masyarakat Melayu bahawa ia berasal daripada perempuan yang mati ketika mengandungkan anaknya. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa ia merupakan jin (hantu) liar yang bertindak mengganggu manusia.  Pontianak (puntianak) juga merupakan nama ibukota Provinsi Kalimantan Barat di Indonesia iaitu Kota Pontianak (Ibukota Kalimantan Barat) yang ada kaitannya dengan hantu pontianak tersebut.

Tersebutlah kisah, ketika Syarif Abdurrahman Al-Qadri pertama kali mendirikan Kota Pontianak, beliau dan rombongannya sering diganggu oleh hantu pontianak ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu gerbang Kota Pontianak dari arah Laut Cina Selatan. Maka untuk mengusir hantu pontianak tersebut, maka ditembakkannyalah meriam. Sekaligus dimana peluru meriam itu jatuh, maka di situlah akan didirikan kerajaan. Maka peluru meriam itu jatuh melepasi di simpang tiga Sungai Kapuas dan Sungai Landak yang kini lebih dikenal sebagai kawasan Beting-Kampung Dalam Bugis-Pontianak Timur. Itulah asalnya nama Kota Pontianak. Nama Pontianak sendiri diambil daripada nama hantu pontianak yang sering mengganggu Syarif Abdurrahman Al-Qadri. Syarif Abdurrahman Al-Qadri sendiri akhirnya menjadi Sultan Kesultanan Pontianak yang pertama (sekitar abad 17). Kini Keraton Qadriah dan Masjid Jami’ Sultan Syarif Abdurrahman masih berdiri dengan kukuh di kawasan Beting dan Kampung Dalam Bugis-Pontianak Timur, sebagai bukti kejayaan Kesultanan Melayu Pontianak-Kalimantan Barat-Indonesia.

Pontianak ini dikatakan mempunyai lubang dibelakang tengkuknya. Sesiapa yang berjaya hidup ketika berjumpa pontianak dalam jelmaan wanita dan memasukkan paku ke dalam lubang ini dikatakan dapat menjadikan pontianak tersebut kekal menjadi wanita cantik. Sekiranya paku itu dikeluarkan, ia akan kembali sebagai pontianak. Bagaimanapun, anda dinasihatkan agar tidak cuba memaku mana-mana wanita yang dijumpai kerana akhirnya anda mungkin akan dituduh membunuh.

Polong

 Merujuk kepada semangat atau makhluk halus belaan yang dipelihara oleh seseorang. Biasanya lelaki, bertujuan untuk memudaratkan musuh. Hantu polong dipercayai diberi makan darah dari jari tuannya.

Menurut kepercayaan orang Melayu, polong dihasilkan dengan meletak darah orang yang mati dibunuh ke dalam botol bermulut panjang. Botol tersebut kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu. Selepas tujuh hari hingga dua minggu, maka akan kedengaran bunyi menjerit daripada dalam botol. Pemuja polong perlu menghiris sedikit jarinya dan memasukkan jarinya yang berdarah itu ke dalam botol untuk memberi polong makan. Dengan memberi makan, polong ini akan terikat kepada tuannya dan akan melakukan apa sahaja suruhan tuannya.

Polong biasanya akan disimpan di dalam botol dan hanya dikeluarkan apabila hendak memusnahkan musuh. Mangsa polong biasanya boleh dikenali dengan kesan lebam pada mayat dan darah keluar melalui mulut.

Hantu polong dikatakan akan dipelihara oleh lelaki untuk menyakiti musuh. Selain itu hantu polong juga digunakan bagi mendapatkan wang. Polong akan menyerang seseorang mangsa dan hanya keluar apabila tuannya datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu tuannya mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa.

Hantu polong adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Ia perlu diberi makan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu polong tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, maka hantu polong akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan.

Mengamalkan ilmu sihir hitam atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syrik dalam Agama Islam. Polong boleh dipaksa bagi memberikan nama tuannya ketika merasuk mangsa. Biasanya biji lada hitam digunakan bagi menggentel bahagian badan mangsa dengan bacaan doa tertentu yang akan menyebabkan polong yang berada dalam badan mangsa kesakitan.

Toyol

Toyol merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu kemungkinannya berasal dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara bagi tujuan mencuri. Toyol ini dikatakan berbentuk kanak-kanak kecil dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil. Toyol biasanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya mendapatkan duit dengan mencuri daripada jiran-tetangga.

Toyol mampu menyelit dalam mana-mana bilik berkunci, dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja, kononnya termasuk yang disorok dicelah kitab suci.  Pemelihara toyol biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan toyol. Toyol yang dipelihara dipercayai secara umum sebagai mempunyai bentuk seorang budak kecil berbogel, dengan mata yang merah dan gigi yang tajam. Kononnya, toyol akan dipelihara dalam sebuah botol kecil dan pemiliknya akan memberikannya makan darahnya sendiri setiap hari atau setiap bulan mengambang. Sekiranya gagal, toyol akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.

Sekiranya tidak dijaga dengan baik, toyol akan membinasakan ahli keluarga terdekat pemilik toyol. Sekiranya toyol tidak lagi diperlukan, pemilik toyol perlu mendapatkan tuan pengganti, atau menghantar toyol itu balik ke tempat ia dibeli, atau ia perlu dibuang. Biasanya dihanyutkan dengan acak ke dalam sungai.

Terdapat petua yang menyatakan sekiranya  permainan  diletakkan hampir dengan wang yang disimpan, toyol akan asyik bermain sehinggakan terlupa mengambil wang. kacang hijau yang diletakkan kedalam kantung juga dikatakan boleh melalaikan toyol.Selain itu, ikan puyu yang dipelihara di dalam akuarium mampu dapat melalaikan toyol dan toyol akan tidak akan berhasrat mengambil wang dari mangsanya.

Toyol juga tidak akan mencuri keseluruhan jumlah wang, tetapi sekadar mengambil sebahagian daripada wang yang tersimpan. Mungkin Kerana kata orang tua-tua yang mengatakan bahawa “budak-budak jangan pegang duit banyak banyak”. Pemilik toyol juga perlu memenuhi apa sahaja permintaan toyol peliharaannya. Sekiranya gagal, toyol tersebut akan bertindak ganas.

Pelesit

Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinan berasal dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara oleh seseorang, biasanya wanita, bagi tujuan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka. Hantu pelesit dipercayai diberi makan darah dari jari tangan tuannya.

Hantu pelesit dikatakan mampu menjelma sebagai sejenis belalang pelesit, belalang kecil yang mempunyai kepala berbentuk tajam dan tirus, dan masuk ke rumah mangsa. Pelesit ini kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka.

Hantu Pelesit dikatakan akan dipelihara oleh wanita bagi tujuan membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Selain itu hantu pelesit juga digunakan bagi mendapatkan wang. Hantu pelesit akan menyerang seseorang mangsa dan hanya keluar apabila tuannya datang datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa.Hantu pelesit biasanya dikatakan disimpan dalam botol kecil dan diberi makan darah yang dititik daripada hujung jari tuannya setiap kali bulan mengambang.

Hantu pelesit adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Ia perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu pelesit tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu pelesit akan hidup liar dan mengganggu penduduk-penduduk berdekatan.  Hantu pelesit akan membuat tuannya susah nak mati kerana tiada tuan baru untuk menjaga dia kelak, kecuali ada anak yang sanggup menjaga hantu itu. Dia akan menjaga tuannya sehingga dia dimusnahkan oleh tuannya sendiri.

Pembela pelesit dikatakan tidak akan mempunyai zuriat kerana ilmunya yang panas akan membunuh janin atau anak kecil yang berdamping dengannya, sekiranya tidak dijaga dengan baik. Pelesit takut dengan tahi besi iaitu sejenis besi lebihan dari proses peleburan besi. Menurut pandangan pengamal perubatan, rupa pelesit adalah seperti seorang tua yang amat hodoh berabut putih panjang.Cara ia berjalan mirip seekor penguin. Ia menumpang ke dalam badan belalang hijau sebagai tunggangannya.Cara untuk mengenali rupa belalang pelesit adalah dengan melihat di atas kepalanya terdapat tanda merah. Apabila dicabut kepalanya akan nampak juraian rambut yang halus.

Hantu Air

Hantu air (Juga termasuk Hantu laut) merupakan sejenis makhluk halus yang digelar mambang atau jin yang terdapat di dalam kawasan berair. Makhluk ini dianggap agak keras dan mampu membahayakan mereka yang bertembung dengannya.

Kebiasaannya ia dikatakan terapung-apung seperti batang kayu buruk, tetapi mampu melumpuhkan mereka yang tersentuh dengannya.Selain itu, ia dikatakan mampu menjelma untuk mengusik mereka yang berada di pinggir air.Dipercayai bahawa hantu air berasal daripada ilmu dan makhluk halus yang dibuang, dihanyutkan melalui sungai mengalir ke laut dengan menggunakan acak.

Air laut yang berkilauan dikatakan menunjukkan kehadirannya. Bagi menggelakkan gangguan bagi para nelayan dari hantu air (laut), satu upacara yang dikenali sebagai semah laut akan diadakan setiap tahun. Upacara ini juga dikenali sebagai puja pantai / main pantai. Upacara ini memang secara terang-terangan bertentangan dengan ajaran Agama Islam.

Hantu Raya

Hantu Raya akan dikawal oleh pemiliknya yang boleh menyuruhnya melakukan apa-apa saja jenis kerja berat. Hantu Raya juga boleh disuruh oleh tuannya bagi merasuk seseorang. Hantu raya mempunyai keupayaan menjelma sebagai manusia biasa atau haiwan lain, dan biasanya Hantu Raya akan menjelma sebagai tuannya.

Hantu Raya yang dipelihara itu akan perlu diberi makan sebagaimana yang dipersetujui dalam perjanjian. Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai acak / sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak dijaga dengan baik dan diberi makan, Hantu Raya yang kelaparan itu akan menyerang tuannya.

Hantu Raya biasanya perlu diwarisi, dan sekiranya tidak diturunkan kepada waris, tuannya akan menjadi bangkai bernyawa. Tubuhnya mati dan berbau busuk, tetapi apabila hendak dikebumikan, ia akan bangkit seperti hidup. Selain itu, ia akan makan dengan lahapnya apabila diberi makan.

Hantu Raya biasanya dipelihara bagi tujuan membantu tuannya melakukan kerja-kerja berat. Hantu Raya juga boleh disuruh membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Dinamakan Hantu Raya bersempena saiznya yang besar seperti penggunaan dalam bahasa Melayu Balai raya, jalanraya dan sebagainya.

Kelemahannya adalah dengan menggunakan lada kering, garam dan arang sahaja. Setiap batang lada patahkan tiga bahagian dengan bacaan Al-Fatihah setiap satu dan sebanyak 40 batang lada kering diperlukan (Jadi 120 batang kecil). Bacakan ayat Kursi sebanyak 33 kali dan hembuskan ke atas air. Renjis air ini ke atas garam dan arang tadi.

Kemudian gunakan arang ini untuk menghidupkan api di atas dupa. Letakkan sedikit lada dan garam sedikit demi sedikit sehingga habis. Masa yang sesuai dari pukul 6.00 petang sehingga habis lada dibakar. Hantu raya akan lari atau mengakibatkan dia cedera disebabkan oleh gas lada ini. Biasanya ia akan membunuh tuannya kerana tuannya tidak dapat mengubatinya.

Ayat Kursi adalah pantang jin dan lada serta garam adalah musuhnya. Gunakan sebaiknya kaedah ini sekiranya anda memasuki rumah yang lama tidak diduduki atau diganggu hantu raya atau anda mengalami sakit yang tiada puncanya. Asapkan badan atau bahagian yang sakit dengan asap lada ini. Insya ALLAH, doa anda dimakbulkan oleh ALLAH S.W.T.

Pocong / Hantu Bungkus

Hantu bungkus atau juga dikenali sebagai hantu punjut atau hantu pocong merujuk kepada sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan. Hantu bungkus sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat dan akan bergerak dengan meloncat-loncat seperti hantu cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka.

Hantu bungkus tidak dipelihara dan didapati secara bebas. Kemungkinan hantu bungkus adalah jelmaan jin yang menganggu manusia.  Mereka yang berani menangkap hantu bungkus dikatakan mampu mendapat kekayaan yang banyak. Ini kerana dikatakan bahawa dalam bungkusan kafan tersebut terdapat wang yang banyak.  Kelebihan hantu ini bukan setakat bergerak pantas malah boleh meloncat dari atap ke atap jauhnya.

Ishh.. Syerammm ehh.. Setakat ini sajalah entry Riff untuk kali ini…  Dalam agama Islam tiada istilah hantu, pontinak dan lain – lain.  Yang ada hanyalah jin dan syaitan.  Jadi jenis hantu-hantu diatas mungkin hanyalah jelmaan jin atau syaitan untuk menganggu dan menyesatkan manusia.. Sehingga berjumpa lagi pada entri-entri yang akan datang.

Jom Masukkan Email Untuk Dapatkan Semua Update-update Terbaru Rifbook.com Secara Terus Ke Inbox Anda. :)

Choose And Click The Picture Below To View The Info.. :)
[fgallery id=1 w=530 h=350 bg=ffffff t=0 title="Rifbook Sharing Info"]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popularity: 5% [?]